Tuesday, February 3, 2009

Kita sendiri yang menutup jalannya

Sekali Air Bah...

DUNIA pada hakikatnya tempat manusia menerima cubaan, ujian dan pelbagai dugaan, kerana alam fana ini hanyalah persinggahan sementara menuju ke alam baqa yang lebih kekal. Pada saat kita diuji dengan berbagaibagai kesusahan dan kesedihan yang datang silih berganti, biasanya kita akan resah gelisah dan tidak henti-hentinya memohon pertolongan Allah s.w.t.

Namun, apabila permohonan belum juga dimakbulkan dan bantuan yang diharapkan tidak menampakkan sebarang petanda baik, mulalah kita mengeluh menyalahkan Tuhan yang tidak memenuhi janji-Nya untuk menolong setiap hamba-Nya.


Sebenarnya kelambatan atau permintaan yang tidak dimakbulkan oleh Allah itu juga merupakan suatu ujian, ujian sejauh mana kesabaran kita menghadapi permintaan yang tidak terjawab ataupun justeru yang datang adalah sebaliknya. Janji allah s.w.t.: ``Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.'' (Alam Nasyrah : 6)


Dalam hal ini Ibnul Jauzi berpandangan, kita sebagai hamba Allah selalu menuntut sesuatu yang dirasakan sebagai hak kita, iaitu terlaksananya sesuatu tujuan. Sebaliknya kita sendiri sentiasa lalai melaksanakan kewajipan kepada-Nya. Sepatutnya sebagai hamba, kita ibarat orang suruhan yang hanya melaksanakan arahan dan kehendak Tuannya, dan pada masa yang sama kita tidak sewajarnya mengharapkan Tuan menunaikan kehendak si hamba.

Kedua, penolakan atau penangguhan ke atas doa yang dipanjatkan adalah akibat perbuatan kita sendiri. Kita yang menutup jalan ke arah termakbulnya doa dengan melakukan pelbagai kemaksiatan. Kita ingkar kepada arahan-Nya dan sebaliknya mengerjakan semua larangan-Nya, sehingga jalan yang sebelumnya terbuka luas akhirnya tertutup rapat kerana kesalahan sendiri.

Tetapi malangnya kita tidak nampak kelalaian dan kesalahan sendiri, kita hanya terus berkeluh kesah. Pada hal Allah menjanjikan pertolongan kepada setiap hamba-Nya yang patuh kepada arahan-Nya dan menghindarkan segala larangan-Nya.

Allah s.w.t. mengingatkan: ``Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, pasti Dia akan menyediakan baginya jalan keluar.'' ( At-Talaq: 2)

Sekarang terpulanglah kepada kita sendiri, apakah kita ingin Tuhan menunaikan segala hasrat kita walau dalam bentuknya yang berlainan, kerana hanya Tuhan yang mengetahui hikmah dan manfaat yang ada di sebalik setiap permintaan hamba-hamba-Nya.

0 comments: