Sunday, February 15, 2009

Nilai-nilai kepimpinan Islam

"Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." (Kata hikmah Khalifah Abdul Malik bin Marwan)

Mampukah kita melaksanakan pesan Abdul Malik bin Marwan?

Di sini, kita mendapat beberapa pengajaran..

Pertama, merendah diri ketika berkedudukan tinggi. Kedua, memiliki sikap pemaaf saat mampu membalas dendam. Ketiga, bersikap adil ketika kuat.



Sebenarnya, ketiga-tiga nilai dan adab kesopanan seseorang penguasa ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Ketiga-tiga nilai itu adalah merendah diri, pemaaf dan adil.

Sebelum kita melanjutkan perbahasan, ada baiknya juga kita mengenali peribadi Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini secara ringkasnya.

Sedikit ringkasan berhubung Abdul Malik bin Marwan

Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisya bt. Mu'awiyah b. al-Mughira.

Ketika beliau berusia 16 tahun, Abdul Malik b. Marwan telah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah.

Beliau adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah - 86 Hijrah (685 - 705 Masihi).

Khalifah Abdul Malik b. Marwan sempat melakukan pembaharuan seperti mengeluarkan matawang mas, mengumpul kembali Mushaf Uthman, dan lain-lain. Pada akhir hayatnya, Abdul Malik b. Marwan berhasrat melantik anaknya Al-Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah. Pada zamannya juga Qubbat As-Sakhrah telah dibina di Baitulmuqaddis.

Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Khalifah Abdul Malik bin Marwan menyebut tiga perkara ini. Dan, yang paling penting, kepada siapakah ia ditujukan?

Merendah diri pada kedudukan tinggi
Mari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri?

Memaafkan musuh ketika berdaya membalas
Sikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat nabilah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali k.w misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.

Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.

"Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.

Maka, jawab Ali, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."

Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.

Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.

Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.

Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.

Bersikap adil ketika kuat
Sikap ketiga ialah adil ketika kuat dalam menjalankan pemerintahan. Apatah lagi, jika hal itu melibatkan wang.

Kita perlu meninjau sikap para sahabat terdahulu untuk muhasabah. Kita perlu beramal dengan isi al-Qur'an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik.

Edit dari Sumber:(Harakah Daily.Net).

0 comments: