Wednesday, December 30, 2009

Nilai tudung



Kita memang biasa melihat ramai pelajar bertudung ketika berada di sekolah tetapi membukanya apabila di luar dan perkara ini bagaikan menjadi suatu budaya.

Begitu juga keadaannya di universiti ramai siswi yang bertudung apabila ke kuliah tetapi ada yang menanggalkannya dan berpakaian mendedahkan aurat ketika di luar kampus.Islam menuntut wanita menutup aurat tetapi apabila perintah itu diambil ringan serta sekadar dijadikan amalan budaya, peranan tudung mula bertukar. Bagi sesetengah pihak, bertudung hanya untuk kecantikan luaran dan ini sudah tentu tidak menepati kehendak agama dalam erti kata menutup aurat sebenarnya.

Baru-baru ini, beberapa remaja bertudung ditahan pihak berkuasa kerana menghadiri konsert haram di ibu kota. Walaupun mereka mendakwa hanya berada di situ secara kebetulan, tetapi kehadiran mereka memberikan gambaran tidak baik untuk imej wanita bertudung.

Media massa boleh dikatakan kerap memaparkan kes wanita bertudung terbabit dengan jenayah dan gejala sosial .

Tidak lama dulu timbul kes wanita bertudung yang menyamar sebagai pegawai kerajaan pergi ke rumah warga tua di Negeri Sembilan untuk menipu. Selain itu, ada kes seorang wanita bertudung terbabit dalam aktiviti pelacuran di Alor Gajah, Melaka.

Pada awal 60-an dahulu, tidak banyak wanita bertudung dan mereka yang memilih untuk memakainya ketika itu terpaksa menghadapi banyak cabaran kerana sering menjadi bahan cercaan masyarakat. Mereka dituduh ekstrem dan ketinggalan zaman.

Keadaan itu berlaku kerana masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap syariat menutup aurat.

Kini pemakaian tudung sudah diterima umum dan wanita bertudung tidak lagi dilabel ekstrem. Kini timbul pula masalah lain apabila wanita bertudung berada di taman bunga bersama pasangan, tempat hiburan, berpegang tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang dan terkinja-kinja di konsert hiburan.

Tudung dipakai tidak lengkap, tutup sini dedah sana, kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada, macam iklan biskut, antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur kata kasar, malah kadangkala lebih buruk daripada wanita yang mendedahkan aurat.

Lebih menyedihkan sesetengah wanita itu bertudung tetapi tidak bersembahyang dan sekali gus imej wanita bertudung tercemar akibat perbuatan sesetengah pemakainya yang menjadikan tudung sebagai fesyen dan ikutan tanpa memahami maksud sebenar perintah agama.

Kalau dahulu wanita bertudung memang menjaga perlakuan dan tingkah lakunya di khalayak ramai tetapi kini tudung seperti tidak berkuasa lagi untuk mencegah perbuatan maksiat kerana perasaan malu sudah tiada dalam diri mereka.

Apabila direnung kembali kenapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah sebenarnya ramai wanita bertudung hari ini jahil terhadap apa yang mereka lakukan.

Ramai wanita yang pakai tudung hanya terikut-ikut dengan suasana sekeliling kerana melihat adik-beradik, sanak-saudara, rakan sekolah atau rakan sepejabat sudah bertudung.

Timbul rasa malu kerana hanya mereka saja yang masih tidak bertudung, walaupun dalam hati tidak bersedia atau tidak begitu berminat untuk berbuat demikian.

Rasulullah pernah ditanya seorang sahabat katanya: “Ya Rasulullah, dengan apakah mencapai keselamatan kelak?” Jawab Nabi: “Jangan menipu Allah dengan tudung.” Orang itu bertanya lagi, “bagaimana menipu Allah?” Jawab baginda: “Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan Allah, tetapi tidak kerana Allah.”

Dalam membicarakan perihal tudung ini, wanita harus bijak menyesuaikan fesyen tudung mengikut konsep Islam dan memelihara kehormatan diri dan aurat mereka.

Kisah seorang siswi tahfiz al-Quran menjadi korban pemuas nafsu teman lelakinya berulang kali pada tahun lalu selepas sering diberikan minuman dicampur sejenis ubat khayal yang disiarkan akhbar perlu dijadikan renungan bersama.

Kita tidak dapat bayangkan bagaimana seorang yang mempunyai pendidikan agama hampir lengkap boleh terpedaya dengan hawa nafsu, inikan pula yang nipis imannya di kalangan masyarakat yang tidak mempunyai pendidikan agama yang kukuh.

Walaupun begitu, kita tidak boleh melabel semua wanita bertudung berakhlak rendah hanya kerana segelintir mereka yang tidak sopan. Pepatah ada menyatakan, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sebenarnya suasana seperti ini sudah pun dijelaskan Rasulullah s.a.w. mengenai keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda, yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum aku melihat mereka.

“Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menghayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta.

“Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium wangiannya. Sesungguhnya bau wangian syurga itu sudah tercium dari perjalanan sangat jauh daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Kebenaran hadis yang diucapkan Rasulullah ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat hari ini, terutama terhadap golongan kedua iaitu ramai perempuan berpakaian tetapi bertelanjang.

Maknanya, golongan ini, jika hendak dikatakan berpakaian pun boleh kerana masih ada pakaian yang menutupi badannya. Jika hendak dikatakan bertelanjang pun boleh kerana walaupun berpakaian, tetapi hanya dengan secebis kain.

Golongan kedua ini juga termasuk mereka yang berpakaian sangat nipis hingga menampakkan warna kulit badan.

Sesungguhnya, sikap segelintir wanita yang tidak memahami tuntutan dalam menutup aurat ini tentu akan mendedahkan diri mereka kepada bahaya lelaki bersifat kehaiwanan yang sentiasa mencari peluang untuk memuaskan nafsu.

Yang pasti, menutup aurat mengikut kehendak Islam adalah langkah pencegahan yang digariskan Islam bagi membendung perbuatan mungkar.

1 comments:

Pn Siti Fatimah Idris said...

slm ukhti,mohon copy post niey..nk kgsi dgn kwn2