Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts
Thursday, December 17, 2009

HATI SEORANG ISTERI…


“ Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…” An-Nisa : 1.

Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya. Rasulullah pernah bersabda, “ Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu.”

“ Umi… Abu ingat abi.”

“ Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu.”

Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah. Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta.

“ Ayang nak letak nama apa?”

“ Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”

“ Sumayyah?”

“ Abang suka?”

“ Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah.”

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

“ Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.

“ Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak.”

“ Bagaimana pula dengan rotan?”

“ Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya.”

“ Adakah dia sering memukulmu?”

“ Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya.”

“ Kamu memang layak masuk syurga,” bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan.

Kakak,

Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung.

Abang.

Abang,

Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu.

Kakak.

Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

“ Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”

“ Pergilah bang. Orang dah jemput.”

“ Macam mana anak-anak?”

“ Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah.”

“ Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?”

“ Emmm….”

Abang,

Bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu.

Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. Malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. ” Ibrahim : 7. Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, “ Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia.

“ Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik.”

“ Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?”

“ Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik.”

“ Nanti kakak telefon abang Muhammad.”

Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah. Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. Ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit…

“ Kakak... Nenek dah meninggal.”

“ Innalillahiwainnailahirajiun.”

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad.

“ DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali.”

“ Kak Hanan.”

“ Ya saya. Siapa di sana?”

“ Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”

“ Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”

“ Em… Akak... Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu,” talian sunyi sebentar.

“ Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua.”

“ Ustaz tahu hal ni?” Hanan cuba menahan getar di hatinya.

“ Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa.” Diam lagi…

“ Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak... Pinanglah dia untuk saya.”

Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi…

Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi. Allah pernah berfirman,

“ Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,”

Al-Baqarah : 286. Hanan juga tahu firman Tuhan, “ Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.” Tapi…

Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi.

Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi…

Kan ketaatan itu juga satu ibadah?

“ Kenapa lain macam je ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.

“ Tak adalah bang. Ayang letih je,” kata Hanan menahan sebak di dada.

“ Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya.

“ Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita.”

“ Abang…” Hanan makin sebak.

Tiba-tiba…

“ Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah.”

“ Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main je.”

“ Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”

Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya…

“ Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24.

“ Abang…” Hanan bersuara satu malam.

“ Yang...”

“ Baru-baru ni, pelajar abang telefon.”

“ Ya.”

“ Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.

“ Ya.”

“ Katanya...” Diam seketika.

“ Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”

“ Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.

“ Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.

“ Sebab inikah kamu berubah isteriku?” Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.

“ Kalau ayang suruh abang kahwin, kenapa menangis?” Diam…

“ Ayang tak sanggup?” Diam lagi…

“ Kalau tak sanggup, kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.

“ Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.”

Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada.

“ Abang… Takut rasanya kali ini.”

“ Kenapa? Kan abang ada.”

“ Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”

“ InsyaAllah, segalanya akan selamat.”

“ Abang...”

“ Ya.”

“ Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”

“ Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”

“ Kalau-kalau…”

“ Semua akan selamat,” pintas Muhammad.

“ Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.”

Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang.

“ Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu.”

“ Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah memberi arahan.

Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Baca Lagi!
Monday, October 12, 2009

Adakah Akal & Agama wanita kurang berbanding Lelaki?

Bismillahirahmanirahim...

Rasanya semua dikalangan kita pernah terdengar bahawa, wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal, berbanding lelaki yang dikatakan mempunyai sembilan akal dan satu nafsu. Saya pun tak tahu sejauh mana kebenarannya. Namun ada juga pendapat yang mengatakan akal dan agama wanita kurang daripada lelaki. Emmm,,,,, betul ke?


Dalam sebuah riwayat Muslim dituliskan: Wanita diciptakan dari tulang rusuk yang tidak akan membuatmu lurus di jalan. Jika kau hendak menikmatinya, maka kau dapat menikmatinya dan padanya ada kebengkokan. Jika kau berusaha untuk meluruskannya, maka kau akan membuatnya patah. Dan bila kau mematahkannya bererti kau telah menceraikannya.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a yang berkata: Rasulullah sedang hendak melakukan sembahyang Aidil Adha atau Aidil Fitri dan di jalan baginda berselisih dengan kaum wanita. Baginda bersabda: Wahai para wanita, tidak pernah aku lihat wanita yang kurang akal dan agamanya yang dapat membuat hati lelaki tertarik melebihi kamu semua. Para wanita tadi bertanya: Apa yang membuat agama dan akal kami kurang ya Rasulullah? Rasul bersabda: Bukankah kesaksian seorang wanita adalah separuh dari kesaksian seorang lelaki? Mereka menjawab: Benar. Baginda meneruskan: Itulah yang membuat akal mereka dianggap kurang, dan bukankah bila ia sedang haid ia tidak boleh sembahyang dan puasa? Mereka menjawab: benar. Rasul melanjutkan: Itulah yang membuat agamanya kurang. (Bukhari dan Muslim)

Ibnu Taimiyah mengatakan: Allah s.w.t berfirman: Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengigatkannya.

Adapun kekurangan akal padanya telah dijelaskan oleh Nabi S.a.w bahawa ia mengalami kekurangan jumlah sembahyang dan puasa pada masa-masa haid dan nifas.

Secara ringkasnya, apa yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai sebuah kekurangan dan cela pada diri seorang wanita, hal itu pula yang telah menbuatkan seorang wanita istimewa. Wanita adalah makhluk yang lembut yang sarat dengan perasaan yang dapat mententerankan kehidupan yang keras ini.

Wanita sejak ia mengandungkan manusia dalam perutnya, lalu melahirkan dan menyusui selalu memberikan perasaan cinta, kasih sayang dan kelembutan dan mengisi roh anaknya dengan nilai-nilai mulia dalam kehidupan. Sebagaimana badannya menjadi sihat dan tumbuh membesar dengan pelbagai makanan, akan tetapi roh dan jiwanya tidak akan sihat dan tumbuh besar tanpa makanan yang hanya dapat diberikan oleh seorang wanita.



Bahkan pada masa anak-anak dan pada usia remajanya, apabila anak ini tidak mendapat dari ibu apa yang mencukupi keperluan jiwanya maka kejiwaannya akan berkembang menjadi liar. bahkan juga bila ia sudah menjadi suami, maka anak yang tadinya berfikiran kecil ini dimana jiwanya kering, hatinya keras dan perasaannya selalu lapar akan sentiasa tidak menemukan orang yang dapat memberinya cinta, kasih dan kedamaian sehingga ia dapat menjalani hidup sebagai seorang lelaki dewasa. Ia tidak akan menemukan semua itu kecuali dari seorang wanita yang menjadi isterinya.

Perasaan, naluri, roh, jiwa bahkan akal seorang lelaki tidak terlalu bererti kecuali apabila ia mendapatkan seorang wanita yang memiliki kesamaan dengan dirinya dalam aturan hidup kemanusiaan dan dalam perlaksanaan syariah sehingga wanita tadi menjadi tanda kekuasaan Allah dalam alam ini.

Baca Lagi!
Friday, February 6, 2009

Wahai wanita


Menyelak buku ”Wanita Solehah – Kedudukan dan Personaliti Serta Ciri-cirinya” hati tersenyum namun gusar di hati sukar untuk ditafsir. Mampukah diri ini bergelar wanita solehah? Mampukah diri ini menajdi wasilah kepada sebuah pembentukan usrah muslim untuk mentarbiyyahkan anak-anak dan keluarga dengan berpandukan AlQuran dan assunnah? Benar, tanggungjawab itu terlalu berat, maharnya terlalu mahal untuk meraih syurga di sana. Dengan arus kehidupan globalisasi, mehnah seringkali menggoyah kekuatan diri. Andai tiada sandaran yang ampuh, sudah pasti diri ini akan rebah akur dengan kehendak duniawi.

Hati seringkali menangis melihat realiti keadaan wanita sekarang. Sekalipun kemajuan dan kemewahan terhampar namun ia membuatkan kita semakin jauh daripada keberkatan dan rahmat kasih sayangNya. Kita dilalaikan dengan ehwal duniawi, sedangkan janjiNya adalah pasti! Dunia sudah tua benar! Ia hanya menanti masa tunggu dipulihkan dengan tiupan sangkakala.


Tika dan saat itu, adakah kita dijanjikan untuk taubat yang akan diterima? JanjiNya itu pasti! Mati juga pasti! Sesungguhnya kita tidak pernah dijanjikan umur yang beratus tahun. Jadi, di manakah titik persetujuan bahawa kita perlu menunggu usia emas untuk bertaubat dan beribadah menutup lompang kejahilan di usia muda? Tiada perjanjian itu!



Saya, saudari dan semua takkan tahu bila ajal kita akan datang. Tahukah kita, malaikat maut sentiasa menziarahi kita. Kunjungan hormat, walaupun tiada terzahir oleh mata zahir namun hati mampu merasainya. Jika hari ini adalah hari terakhir kita di dunia ini, sudah bersediakah kita untuk mengadapNya? Berapa banyak amal yang telah tersedia sebagai bekalan selamat di sana? Sudahkah kita tunaikan hak diri kita sepanjang usia kita? Aurat, akhlak, amalan ibadah... bagaimanakah timbangan semuanya itu? Cukupkah untuk kita berlalu pantas pada titian sirat? Ataupun kita perlu merangkak, lantaran bekalan kita terlalu naif.

Saudariku tersayang, atas dasar kasih sayang ini, marilah sama-sama kita muhasabah diri. Tiada manusia yang akan sempurna, namun bukan satu perkara yang salah untuk kita sentiasa berubah ke arah kesempurnaan.

Renung-renungkanlah. Adakah aurat kita terjaga? Pakaian kita adakah seperti yang islam anjurkan? Akhlak kita adakah mengikut lunas syariat? Siapakah turutan keutamaan dalam amalan kehidupan kita? Ketahuilah, Islam adalah agama yang syumul dan ia takkan menyusahkan pengikutnya! Ayuh, lapangkan hatimu. Lihatkan keindahan Islam yang tersedia buatmu muslimah. Setiap perkara yang islam bahaskan adalah demi kebaikanmu.

Jadilah muslimah yang menjadikan Deen sebagai pakaiannya, jadikan malu itu sebagai kehormatanmu. Janganlah cemarkannya. Ketahuilah jua, dirimu dan diriku adalah wanita istimewa, nilaian wanita muslimah terlalu mahal. Sanggupkah kita merendahkan mahar yang semahalnya itu dengan akhlak yang buruk, dengan pakaian kita yang tidak menutup aurat, dengan tindakan kita yang kurang sopan.

Islam ditegakkan atas darah syuhada, jangan cemarkan darah itu dengan ketaksuban kita kepada kemajuan yang tiada keseimbangan rohaniyyah. Seandainya di suatu malam, air mata kita menitis kerana kita insaf, bergembiralah wahai temanku. Itulah khabaran gembira, Dia sudi memberikan hidayahNya yang tidak pernah siapa menjangka.

Berubahlah ke arah kebaikan, sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka buat kita semua. Seandainya ada dosa-dosa lalu, Dia menjanjikan keampunan pada mereka yang sentiasa bertaubat. Biarkan kemungkaran lalu menjadi mimpi buruk buat kita, hiduplah dalam alam nyata, bahawa dirimu muslimah terlalu indah untuk dipertontonkan di khalayak.

Diri ini akan menjadi insan paling gembira jika titipan mesra ini dibaca oleh muslimah, lalu ia muhasabahkan dirinya. Berubahlah demi kebaikan, kerana dirimu dan diriku jua berhak meraih syurga abadi yang dijanjikanNya
Baca Lagi!
Tuesday, November 11, 2008

"Adakah Anda Bunga Atau Mutiara?"

Tajuk yang indah ini menarik perhatian saya ketika saya membaca satu soalan yang ditujukan kepada para gadis: ?Adakah anda bunga atau mutiara?? Bunga cantik, begitu juga dengan permata. Mana satukah yang anda pilih? Ya, bunga baunya wangi, warnanya cantik, menggoda dan menarik, manakala permata tinggi harganya dan cantik juga.


Tetapi, bunga umurnya pendek. Cepat layu jika dipanah terik matahari atau diganggu oleh tangan manusia atau binatang. Mungkin ada orang memetiknya, lalu ia akan layu dengan cepat. Umur bunga sangat pendek.

Sedangkan permata akan kekal kelihatan cantik selama-lamanya jika ia terus berada di dalam cenkerangnya. Ia tidak bersinar melainkan kepada yang berhak dan layak.

Kedua-duanya cantik tetapi kecantikan mutiara berkekalan sementara kecantikan bunga hanya sementara. Demikian juga dengan para gadis. Gadis yang tidak menutup aurat cantik tetapi ia sama seperti bunga. Manakala gadis yang menutup aurat dengan sempurna adalah mutiara yang amat cantik. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Oleh itu wahai saudariku! Wahai orang-orang yang merindui syurga dan merindui para pemuda di dalamnya yang kekal abadi serta kenikmatan yang berpanjangan! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya!

Setiap gadis yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya, Muhammad saw sebagai nabinya dan Islam sebagai agamanya hendaklah memerhatikan firman Allah swt (surah Ali ?Imran ayat 102):

Maksudnnya: ?Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.?

Kembalilah!

Islam bererti menyerah, menerima serta tunduk kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan dan reda.

Apakah yang Allah swt perintahkan kepada anda wahai muslimah?! Dia memerintahkan anda supaya menutup aurat. FirmanNya (surah al-Nur ayat 31):

Maksudnya: ??dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka??

FirmanNya lagi (surah al-Ahzab ayat 36):

Maksudnya: ?Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.?

Jika benar anda muslimah, ini bererti anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah. Jika anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah, kenapa anda tidak menutup aurat anda?

Aku memohon bantuanMu, wahai Tuhan!

Daripada sekeping hati yang cintakan kebaikan bagi anda dan bercita-cita agar anda mengecapi kemanisan iman? daripada sekeping hati yang bimbang anda akan berjauhan daripada Allah? yang bimbang hati anda menjadi gelap? yang bimbang keburukan-keburukan yang akan mencacatkan lembaran amalan anda hasil daripada pandangan nakal para pemuda dan pemudi yang menjadikan anda sebagai ikutan kerana tidak menutup aurat, meskipun hati anda dipenuhi dengan segala kebaikan? meskipun segala kebaikan yang anda lakukan, daripada kepingan hatiku ini, saya mengharapkan kebaikan untuk anda. Kuatkan semangat dan bermulalah dari sekarang! Ucapkanlah ?aku memohon bantuanMu, wahai Tuhanku! Bantulah daku menghadapi diriku sendiri dan godaan-godaan dunia? Aku bertawakkal kepadaMu, wahai Tuhanku. Engkaulah segala-galanya bagiku? Tiada Tuhan bagiku selainMu. Maka perelokkanlah seluruh hal ehwalku.?

Renungan

Sekarang saya tujukan perkataan ini pula kepada setiap wanita yang telah memakai tudung. Ia adalah seruan agar setiap wanita yang telah memakai tudung agar mereka berdiri di hadapan cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri: ?Adakah tudung saya ini bersesuaian dengan kehendak Allah? Adakah akhlak saya bertepatan dengan kehendak Allah.? Sesetengah wanita yang telah memakai tudung menyangka dengan meletakkan secebis kain di atas kepalanya itulah segala-galanya, sedangkan dia memakai pakaian yang sempit dan jarang serta tidak menjaga akhlak dan adab Islam.

Maka ketahuilah wahai wanita yang telah memakai tudung bahawa tudung anda bukanlah segala-galanya. Jika benar anda memakainya kerana mahu mendapat keredaan dan kecintaan Allah serta kerana mentaatiNya semata-mata, maka sekali lagi ketahuilah bahawa tudung adalah pakaian Islam yang mempunyai beberapa syarat. Tudung juga adalah akhlak dan adab serta membantu anda untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Katakan tidak!

Saya menyeru kepada anda wahai muslimah untuk berkata tidak kepada:

1. Pakaian yang sempit dan jarang.
2. Pakaian yang mendedah aurat di tepi pantai, di majlis-majlis keramaian dan di mana-mana sahaja.
3. Wangi-wangian dan solekan.
4. Seluar sendat yang menyakitkan mata dan hati setiap orang yang cemburukan agamanya kerana melihat para gadis memakainya dengan begitu bersahaja tanpa menyedari kesannya terhadap para pemuda.

Saya menyeru anda wahai muslimah untuk memerhatikan diri anda di dalam cermin sebelum anda keluar rumah. Perhatikan dari depan dan belakang? Adakah pakaian anda bertepatan dengan kehendak Allah?

Bagaimana sepatutnya pakaian anda?

1. Hendaklah menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan.
2. Tidak jarang. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ?Akan ada di kalangan umatku nanti wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang. Kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan memperoleh baunya.?
3. Tidak sempit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ?Malu dan iman adalah beriringan.?
4. Tidak disapu dengan bau-bauan.
5. Pakaian itu sendiri bukan perhiasan. Firman Allah swt (surah al-Nur ayat 31) yang bermaksud: ?? dan janganlah mereka (wanita-wanita yang beriman) memperlihatkan perhiasan mereka??

Anda di dalam syurga

Wahai muslimah! Wahai mukminah! Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: ?Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.? Wahai wanita yang tidak memperlihatkan perhiasannya kerana Allah sedang dia difitrahkan suka kepada perhiasan, dengarlah sabda Rasulullah saw berkenaan sifat wanita-wanita dunia di dalam syurga kelak.

Sabda baginda saw yang bermaksud: ?Dengan sembahyang, puasa dan ibadat mereka kepada Allah swt, Allah menghamparkan cahaya di atas muka mereka dan memakaikan sutera berwarna putih, pakaian berwarna hijau dan perhiasan berwarna kuning di atas badan mereka. Dapur mereka adalah mutiara dan sikat mereka adalah emas. Mereka berkata: ?Kami kekal abadi dan tidak akan mati. Kami penuh kelembutan, sama sekali tidak menyusahkan. Kami akan terus muda, tidak tua selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kami sentiasa reda, tidak marah sama sekali. Bergembiralah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memiliki mereka.? (Riwayat al-Tirmizi)
Baca Lagi!
Wednesday, October 22, 2008

Maruah dan Keras Hati


Dalam bab Karektor dan Keistimewaan Aisyah, Sulaiman An-Nadawi dalam karyanya bertajuk Aisyah: Keanggunan Sebenar menceritakan salah satu perwatakan Aisyah yang menarik perhatianku, ‘Maruah serta Keras Hati’. Begini penulis menceritakan sebagai membuktikan sikap ini terbentuk dalam diri wanita unggul itu:

Walaupun Aisyah adalah wanita yang rendah hati, namun dalam hal tertentu beliau agak keras hati. Beliau tidak suka hidup di bawah telunjuk orang lain. Kadang-kadang sifat keras hatinya ditunjukkan dengan sikap merajuk kepada suaminya.

Seperti dalam peristiwa fitnah haditsul ifki, Aisyah berkeras enggan pergi kepada suaminya walaupun wahyu berkenaan kesucian dirinya sudah diturunkan. Ucapan pertama yang keluar daripada pesuruh Allah adalah, “Bergembiralah, wahai Aisyah! Allah sudah membebaskanmu daripada segala tuduhan”.


Ayat 11 surah an-Nuur yang menegaskan kesuciannya adalah seperti berikut, “Sesungguhnya orang yang membawa berita yang dusta itu adalah segolongan daripada kalangan kamu; Janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan mendapat hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)”.

Selepas ayat itu diwahyukan, ibu Aisyah menyuruhnya pergi kepada Nabi Muhammad.

Aisyah enggan lalu menjawab, “Demi Allah, saya tidak akan mendatangi beliau. Hanya Allah yang saya puji kerana Dialah yang menurunkan wahyu dan membebaskan diriku daripada segala tuduhan”.

Bukhari, Muslim, Nasa’i dan Ibnu Hibban mengisahkan, “Aisyah akan bersumpah dengan ‘Demi Tuhan Muhammad’, tetapi lain halnya semasa merajuk. Semasa merajuk, beliau biasanya bersumpah dengan kata, ‘Demi Tuhan Ibrahim’ ”.

Walau bagaimanapun, sikap keras hati dan ucapannya semasa merajuk itu adalah dalam konteks hidup berumah tangga.

Anak saudaranya, Abdullah bin Zubair adalah orang yang dikasihinya. Abdullahlah orang yang memenuhi segala keperluan Aisyah. Aisyah memang pemurah, suka bersedekah sehingga habis apa sahaja yang dimilikinya. Oleh itu, Abdullah pernah berkata, “Sepatutnya tangan-tangan Aisyah itu diikat”.

Aisyah terdengar kata-kata Zubair itu lalu berkata, “Apa? Tangan saya perlu diikat? Saya bernazar tidak akan bercakap dengan Abdullah bin Zubair lagi”. Nazar ialah janji menunaikan sesuatu apabila hasrat tercapai.

Bukhari mencatatkan, “Nazar Aisyah itu merisaukan Abdullah bin Zubair. Abdullah pun meminta pertolongan daripada beberapa orang suku Quraisy. Beberapa org bapa saudara Nabi Muhammad pun turut diajak. Aisyah akhirnya mengalah lalu membatalkan nazarnya. Sebagai tebusan kepada nazarnya, beliau memerdekakan 40 orang budak suruhan”.

Secara umumnya, orang yang keras hatinya sukar berlaku adil. Sifat keras hati serta mampu berlaku adil adalah dua perkara yang berlawanan. Hanya mereka yang sudah mencapai akhlak yang sempurna sahaja mampu menyatupadukan dua sifat yang bertentangan ini. Tetapi, Aisyah sudah diasuh oleh pendidik terunggul iaitu Nabi Muhammad. Tidak hairanlah sekiranya beliau mampu menyatupadukan dua sifat yang bertentangan ini. Walaupun keras hatinya, namun beliau sentiasa dapat berlaku adil.

Abdurrahman bin Syamasah pernah datang berjumpa Aisyah bagi bertanya berkenaan satu masalah. Aisyah bertanya, “Kamu dari mana?”

“Saya dari Mesir”, jawab Abdurrahman.

“Bagaimana sikap pemerintah kamu dalam perang yang baru sahaja terjadi ini?” tanya Aisyah.

“Kami menyukainya. Jika unta salah seorang daripada kami mati, beliau menggantikannya dengan unta lain. Jika budak suruhan kami meninggal dunia, beliau juga akan menggantikannya dengan budak lain. Jika kami memerlukan nafkah, beliau akan memberikan kami nafkah”.

“Walaupun pemerintah kamu itu tidak adil ke atas saudara saya, Muhammad bin Abu Bakar, namun saya tetap mahu menyampaikan kata-kata Nabi Muhammad. Kata-kata ini dinyatakannya di dalam rumah ini juga, ‘Ya Allah, sesiapa yang berkuasa atas umatku ini lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa yang berkuasa atas umatku lalu ia menyayangi mereka, maka sayangilah ia’ ”. Hadis ini direkodkan oleh Muslim.

Seusai membaca bab ini, aku cuba merenung dalam diri. Keras hati… Sungguh kuakui sikap itu telah sebati dalam diri. Terkadang aku sendiri berasa cuak, kenapa mesti terlalu keras. Dan memang ada ketikanya aku tidak mampu bersikap adil lantaran belitan sikap keras hatiku. Paling teruk sekali apabila aku tidak mampu bersikap adil kepada diriku sendiri. Itu telah cukup membuktikan betapa akhlakku belum cukup sempurna, sesempurna akhlak wanita unggul yang cuba kucontohi itu. Aisyah…, seindah namamu begitu jua akhlakmu… Moga aku mampu mencontohimu sebagai seorang hamba yang tercipta selaku wanita..
Baca Lagi!
Tuesday, September 23, 2008

Mengapa WANITA sangat Istimewa......

Mama dan Papa sedang menonton TV, seraya mama berkata. "..i letih la..dah lewat ni, i nak tido lah...."

Mama pun pegi dapur nak tutup tingkap dapur, nanti masuk pulak lipas...leceh pulak nanti..dah tu, ade pulak rice cooker dalam sink..rendam lepas makan tadi.. basuh jap... susun pinggan kat rak, lap dapur.. terpercik kena sambal masa masak tadi...check air panas dalam flusk.. takut habis pulak nanti malam anak nak susu...memang dah kering pun flusk ni, jerang la air... sementara tunggu air masak, nampak pulak bekas gula dah kosong....salin la gula...check bubur untuk anak nak hantar ke taska esok..nasib baik ade lagi...ishh. ..ni lauk bila ni, semalam...dah beku dah...basuh la kejap....pegi yard, masukkan baju kotor dalam mesin basuh...penat dah ni, besok je la basuh...sidai kaian lap je lah... tik...bunyi air dah masak...salin air dalam flusk...ok settle...

baru teringat tak semayang lagi...on da way nak g bilik, papa tgk tv lagi...nampak pulak beg anak untuk hantar ke taska...check. ..baju 2 pasang, towel...towel kecik utk selsama...calamine lotion untuk sapu ruam...pampers 4 keping....alamak. .telupa pulak masukkan botol...basuh botol jap...ok settle...

ternampak pulak beg g keje...emm.. besok nak pakai beg polo coklat lah, asik2 pakai beg hitam ni je...salin jap barang2 g beg coklat...cek sume 6 poket beg, takut la tetinggal apa2..leceh pulak..selalunya barang yang tertinggal tu la yang nak pakai nanti...hishhh sempit la beg ni...hangin je...nak kena beli ni beg baru...rasenya 25 hb ni Sogo sale nih...mana flyers tadi ek...ha ni die..ok, catit jap kat yellow sticker, nanti lupa..ok settle...

Tetiba dengar suara papa..."..u buat apa lagi tu..tadi kata nak tido.."...."..yelah nak tido la ni..nak smayang jap..."

masuk toilet..buat apa2 yang patut...cuci muka dulu..2 jenis lak tu...adoi..gosok gigi...smayang. ..pakai toner...pakai treatment cream...nak lawa and maintain punya pasal lah ni...

nanti orang kata baru anak satu dah macam anak 4 pulak...huhuhuhu. ..

bukak almari...emmm. ..pakai baju hijau ni lah besok...gosok kejap..check baju papa, baju papa pun kena gosok jugak ni...kat bilik belakang... la, napa komputer ni tak tutup ni..gelas kopi pun ade lagi, dah bersemut dah..ishhh ...g dapur, basuh, sambung gosok baju...gantung elok2...kemaskan baju gantung2...masukkan seluar papa yang dah kotor dalam tempat kotor...ok settle..

dgr suara papa lagi..."..i dah ngantuk ni.."..dalam pada nak masuk ke bilik...owh. ..pokok aku dah nak mati ni ha..lupa dah 3 hari tak siram...ok, siram jap...check jap pintu ni...sah tak kunci lagi...grill pun tak tutup..ni kalau tak check ni, senang2 je mat indon masuk rompak umah aku...bukak lampu luar..

ni mainan ni sepah2...masukkan la dalam bakul mainan budak ni...banyak nya...sampai bawah meja makan pun ade...adoi.. ..ok dah ...

ok dah boleh baring...adoi sakitnya pinggang...cium si comel ni kejap...selimutkan die...la..napa basah ni...emm, tukar la pempers ni...tak bagus la brand ni, nanti nak tukar lain la...nanti g Sogo 25 hb ni beli la skali...ok sayang tido k...kalau boleh jangan la bangun tgh malam ni eh..tido sampai pagi k...gud nite..sweet dreams...

aaahh...sedapnya dapat baring...mana pulak lotion sapu kurus aku nih...ha, ni dia...sambil sapu lotion kurus,,,setkan alarm...setkan program kerja besok...pg kul 9.30 ade meeting.. ahh...boring. ..panas pulak lotion nih..dah la...emm..sedapnya lelapkan mata...Ya Allah...terima kasih untuk rezekiMU hari ini,...mohon keberkatan dari mu tuhan...papa pun bangun tutup tv..."...i dah ngantuk sangat ni...nak tido lah...citer pun tak best malam ni, bola pun takde..."...selang seminit ...dengar suara papa berkeruh...dah agak dah....

So?....apa yang peliknya..??

Anda tahu kenapa wanita hidup lebih lama?...SEBAB ADE BANYAK KERJA NAK KENA BUAT....tu yang tak boleh nak mati cepat tu...

Hantarkan ke 5 WANITA yang anda rasa hebat...pasti anda disayangi kerana memahami mereka...well, women understand women better... foward jugak kat lelaki-lelaki so mereka akan hargai emak, isteri, dan kawan 2 dengan lebih baik lagi...

Tak kira la wanita berkerjaya atau surirumah... setiap wanita adalah istemewa dengan cara mereka sendiri...

Kalau lelaki mengakui kebenaran ini....hormat dah hargailah mereka...untuk keperibadian dan kebolehan mereka untuk berdikari..

Oleh OrgPuang
Baca Lagi!

Bila wanita menjaga aurat

Semoga bermanfaat buat kita semua. Sedarlah wahai hamba Allah.Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Selamat beramal..(buat diri sendiri dan juga sahabat-sahabat sekalian)-permaisuri lebah
Baca Lagi!