Thursday, December 17, 2009

HATI SEORANG ISTERI…


“ Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…” An-Nisa : 1.

Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya. Rasulullah pernah bersabda, “ Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu.”

“ Umi… Abu ingat abi.”

“ Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu.”

Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah. Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta.

“ Ayang nak letak nama apa?”

“ Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”

“ Sumayyah?”

“ Abang suka?”

“ Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah.”

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

“ Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.

“ Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak.”

“ Bagaimana pula dengan rotan?”

“ Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya.”

“ Adakah dia sering memukulmu?”

“ Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya.”

“ Kamu memang layak masuk syurga,” bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan.

Kakak,

Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung.

Abang.

Abang,

Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu.

Kakak.

Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

“ Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”

“ Pergilah bang. Orang dah jemput.”

“ Macam mana anak-anak?”

“ Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah.”

“ Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?”

“ Emmm….”

Abang,

Bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu.

Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. Malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. ” Ibrahim : 7. Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, “ Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia.

“ Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik.”

“ Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?”

“ Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik.”

“ Nanti kakak telefon abang Muhammad.”

Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah. Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. Ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit…

“ Kakak... Nenek dah meninggal.”

“ Innalillahiwainnailahirajiun.”

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad.

“ DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali.”

“ Kak Hanan.”

“ Ya saya. Siapa di sana?”

“ Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”

“ Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”

“ Em… Akak... Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu,” talian sunyi sebentar.

“ Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua.”

“ Ustaz tahu hal ni?” Hanan cuba menahan getar di hatinya.

“ Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa.” Diam lagi…

“ Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak... Pinanglah dia untuk saya.”

Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi…

Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi. Allah pernah berfirman,

“ Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,”

Al-Baqarah : 286. Hanan juga tahu firman Tuhan, “ Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.” Tapi…

Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi.

Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi…

Kan ketaatan itu juga satu ibadah?

“ Kenapa lain macam je ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.

“ Tak adalah bang. Ayang letih je,” kata Hanan menahan sebak di dada.

“ Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya.

“ Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita.”

“ Abang…” Hanan makin sebak.

Tiba-tiba…

“ Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah.”

“ Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main je.”

“ Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”

Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya…

“ Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24.

“ Abang…” Hanan bersuara satu malam.

“ Yang...”

“ Baru-baru ni, pelajar abang telefon.”

“ Ya.”

“ Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.

“ Ya.”

“ Katanya...” Diam seketika.

“ Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”

“ Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.

“ Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.

“ Sebab inikah kamu berubah isteriku?” Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.

“ Kalau ayang suruh abang kahwin, kenapa menangis?” Diam…

“ Ayang tak sanggup?” Diam lagi…

“ Kalau tak sanggup, kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.

“ Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.”

Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada.

“ Abang… Takut rasanya kali ini.”

“ Kenapa? Kan abang ada.”

“ Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”

“ InsyaAllah, segalanya akan selamat.”

“ Abang...”

“ Ya.”

“ Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”

“ Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”

“ Kalau-kalau…”

“ Semua akan selamat,” pintas Muhammad.

“ Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.”

Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang.

“ Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu.”

“ Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah memberi arahan.

Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Baca Lagi!
Wednesday, December 16, 2009

Siapakah Dia...

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir
senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa
amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.
Baca Lagi!
Tuesday, November 10, 2009

Hati Menemukan Kedamaian dengan Mengingat Allah

Alhamdulillah segala imtihan sudah berakhir. Segala usaha yang dicurahkan bakal dilihat tidak lama lagi. Moga-moga allah permudahkan segala urusan, walaupun expectation result agak-agak akan ada taufan..... Satu artikel yang menarik untuk dikongsi hasil daripada harun yahya, bagaimana kajian yang dilakukan membuktikan Hati Menemukan Kedamaian dengan Mengingat Allah. Apa yang mendasari adanya hubungan antara keimanan dan jiwa raga manusia ini? Kesimpulan yang dicapai oleh sang peneliti sekuler, dalam kata-katanya sendiri, bahwa jasmani dan ruhani manusia telah dikendalikan untuk percaya kepada Allah.

Subhanallah bersyukurlah kita semua kerana masih dikurniakan nikmat iman dan islam. Moga-moga Allah menghidupkan kita dalam iman, mematikan dalam iman, membangkitkan dalam iman dan memasukkan syurga dalam iman.

Sebagai contoh, menurut penelitian oleh David B Larson dan timnya Pusat Penelitian Kesehatan Nasional Amerika, pembandingan antara orang Amerika yang taat dan yang tidak taat beragama telah menunjukkan hasil yang sangat mengejutkan. Jika dibandingkan mereka yang sedikit atau tidak memiliki keyakinan agama, orang yang taat beragama menderita penyakit jantung 60% lebih sedikit, tingkat bunuh diri 100% lebih rendah, menderita tekanan darah tinggi dengan tingkat yang jauh lebih rendah, dan angka perbandingan ini adalah 7:1 di antara para perokok.

Ibadah dan keimanan kepada Allah memiliki lebih banyak pengaruh baik pada kesehatan manusia daripada keimanan kepada apa pun yang lain.
Dalam sebuah pengkajian yang diterbitkan dalam International Journal of Psychiatry in Medicine, sebuah sumber ilmiah penting di dunia kedokteran, dilaporkan bahwa orang yang mengaku dirinya tidak berkeyakinan agama menjadi lebih sering sakit dan mempunyai masa hidup lebih pendek. Menurut hasil penelitian tersebut, mereka yang tidak beragama berpeluang dua kali lebih besar menderita penyakit usus-lambung daripada mereka yang beragama, dan tingkat kematian mereka akibat penyakit pernapasan 66% lebih tinggi daripada mereka yang beragama.

Para pakar psikologi yang sekuler cenderung merujuk angka-angka serupa sebagai "dampak kejiwaan". Ini berarti bahwa keyakinan agama meningkatkan semangat orang, dan hal ini berpengaruh baik pada kesehatan. Penjelasan ini mungkin sungguh beralasan, namun sebuah kesimpulan yang lebih mengejutkan muncul ketika orang-orang tersebut diperiksa. Keimanan kepada Allah jauh lebih kuat daripada pengaruh kejiwaan apa pun. Penelitian yang mencakup banyak segi tentang hubungan antara keyakinan agama dan kesehatan jasmani yang dilakukan oleh Dr. Herbert Benson dari Fakultas Kedokteran Harvard telah menghasilkan kesimpulan yang mencengangkan di bidang ini. Walaupun bukan seorang yang beragama, Dr. Benson telah menyimpulkan bahwa ibadah dan keimanan kepada Allah memiliki lebih banyak pengaruh baik pada kesehatan manusia daripada keimanan kepada apa pun yang lain. Benson menyatakan, dia telah menyimpulkan bahwa tidak ada keimanan yang dapat memberikan banyak kedamaian jiwa sebagaimana keimanan kepada Allah.

Kenyataan ini, adalah sebuah rahasia yang dinyatakan dalam Al Qur'an dengan kalimat ini "...Hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." (QS. Ar Ra’d, 13:28). Alasan mengapa orang-orang yang beriman kepada Allah, yang berdoa dan berharap kepada-Nya, lebih sehat secara ruhani dan jasmani adalah karena mereka berperilaku sesuai dengan tujuan penciptaan mereka. Filsafat dan sistem yang tidak selaras dengan penciptaan manusia selalu mengarah pada penderitaan dan ketidakbahagiaan.

Kedokteran modern sekarang sedang mengarah menuju pemahaman tentang kebenaran ini. Seperti kata Patrick Glynn: "Penelitian ilmiah di bidang psikologi selama lebih dari 24 tahun silam telah menunjukkan bahwa, ... keyakinan agama adalah satu di antara sejumlah kaitan paling serasi dari keseluruhan kesehatan jiwa dan kebahagiaan."

Begitu banyak kajian yang dilakukan oleh golongan sekular yang berpihak kepada keimanan kepada Allah. Allah menyatakan dalam Al-Qur’an bahwa Dia menciptakan manusia agar siap untuk menghidupkan agamaNya:

Maka, teguhkanlah pengabdianmu kepada Agama yang benar yang Allah ciptakan untuk manusia. Tiada yang mampu merubah ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (Surat Ar-Rum: 30)
Baca Lagi!
Monday, October 12, 2009

Adakah Akal & Agama wanita kurang berbanding Lelaki?

Bismillahirahmanirahim...

Rasanya semua dikalangan kita pernah terdengar bahawa, wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal, berbanding lelaki yang dikatakan mempunyai sembilan akal dan satu nafsu. Saya pun tak tahu sejauh mana kebenarannya. Namun ada juga pendapat yang mengatakan akal dan agama wanita kurang daripada lelaki. Emmm,,,,, betul ke?


Dalam sebuah riwayat Muslim dituliskan: Wanita diciptakan dari tulang rusuk yang tidak akan membuatmu lurus di jalan. Jika kau hendak menikmatinya, maka kau dapat menikmatinya dan padanya ada kebengkokan. Jika kau berusaha untuk meluruskannya, maka kau akan membuatnya patah. Dan bila kau mematahkannya bererti kau telah menceraikannya.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a yang berkata: Rasulullah sedang hendak melakukan sembahyang Aidil Adha atau Aidil Fitri dan di jalan baginda berselisih dengan kaum wanita. Baginda bersabda: Wahai para wanita, tidak pernah aku lihat wanita yang kurang akal dan agamanya yang dapat membuat hati lelaki tertarik melebihi kamu semua. Para wanita tadi bertanya: Apa yang membuat agama dan akal kami kurang ya Rasulullah? Rasul bersabda: Bukankah kesaksian seorang wanita adalah separuh dari kesaksian seorang lelaki? Mereka menjawab: Benar. Baginda meneruskan: Itulah yang membuat akal mereka dianggap kurang, dan bukankah bila ia sedang haid ia tidak boleh sembahyang dan puasa? Mereka menjawab: benar. Rasul melanjutkan: Itulah yang membuat agamanya kurang. (Bukhari dan Muslim)

Ibnu Taimiyah mengatakan: Allah s.w.t berfirman: Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengigatkannya.

Adapun kekurangan akal padanya telah dijelaskan oleh Nabi S.a.w bahawa ia mengalami kekurangan jumlah sembahyang dan puasa pada masa-masa haid dan nifas.

Secara ringkasnya, apa yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai sebuah kekurangan dan cela pada diri seorang wanita, hal itu pula yang telah menbuatkan seorang wanita istimewa. Wanita adalah makhluk yang lembut yang sarat dengan perasaan yang dapat mententerankan kehidupan yang keras ini.

Wanita sejak ia mengandungkan manusia dalam perutnya, lalu melahirkan dan menyusui selalu memberikan perasaan cinta, kasih sayang dan kelembutan dan mengisi roh anaknya dengan nilai-nilai mulia dalam kehidupan. Sebagaimana badannya menjadi sihat dan tumbuh membesar dengan pelbagai makanan, akan tetapi roh dan jiwanya tidak akan sihat dan tumbuh besar tanpa makanan yang hanya dapat diberikan oleh seorang wanita.



Bahkan pada masa anak-anak dan pada usia remajanya, apabila anak ini tidak mendapat dari ibu apa yang mencukupi keperluan jiwanya maka kejiwaannya akan berkembang menjadi liar. bahkan juga bila ia sudah menjadi suami, maka anak yang tadinya berfikiran kecil ini dimana jiwanya kering, hatinya keras dan perasaannya selalu lapar akan sentiasa tidak menemukan orang yang dapat memberinya cinta, kasih dan kedamaian sehingga ia dapat menjalani hidup sebagai seorang lelaki dewasa. Ia tidak akan menemukan semua itu kecuali dari seorang wanita yang menjadi isterinya.

Perasaan, naluri, roh, jiwa bahkan akal seorang lelaki tidak terlalu bererti kecuali apabila ia mendapatkan seorang wanita yang memiliki kesamaan dengan dirinya dalam aturan hidup kemanusiaan dan dalam perlaksanaan syariah sehingga wanita tadi menjadi tanda kekuasaan Allah dalam alam ini.

Baca Lagi!
Monday, September 28, 2009

Jalan-jalan cari pasal...huuhu

Salam mahabbah buat semua...
Selamat kembali ke medan perjuangan kampus selepas seronok berhari raya.

Dah lama rasanya tak keluar jalan-jalan cari makan, maklumlah baru lepas bulan ramadan. ape lagi balik cuti raya, keluar jab jalan-jalan menikmati alam ciptaan tuhan...hehe..

Habis je kelas kul 5 petang, kereta no plat WPF 3045 menuju ke CS. Ni antara makanan yang sempat di ambik gambar kat sana. Bleh lah tahan makanannya, sape nak makan bleh la cuba.huhu



Laksa Lemak Singapura RM 9.90


Laksa Johor RM 9.90


Laksa Sarawak RM 9.90


Lime Juice RM 3.90 , Ice Lemon Tea RM 3.90, Bandung Cincau RM 4.90

Sempat juga main ketuk-ketuk.

Baca Lagi!
Tuesday, September 15, 2009

Santai: Cerita MALAS


Pada masa dahulu, ada sebuah kampung dimana semua rakyatnya amat RAJIN belaka tidak ada yang malas.

Jadi pada suatu hari, rajanya membuat pengumuman hendak mencari seorang yang malas. Semasa perhimpunan itu, adalah seorang lelaki mengaku

Katanya : "saya adalah yang paling malas"

Raja pun bertanya : "apa tahap malas awak?"

Lalu jawab lelaki tersebut :"kalau saya hendak makan,ada orang yang menyuapkan saya".

Tiba-tiba datang seorang lelaki lagi : "Saya lebih malas lagi dari dia tuanku".

Tuanku pun bertanya kepadanya : "sampai mana pulak tahap malas awak?"

maka jawabnya : "Kalau saya makanpun, sampai ada orang tolong kunyahkan".

Maka raja pun terdiam.....
Tanpa disangka2 datang seorang budak lelaki datang kepadanya sambil berkata:

"saya adalah yang paling malas tuanku".

Raja pun bertanya: "bagaimana pula tahap kemalasan awak?"

budak itu pun menjawab : "Nak cite pun malas"....
Baca Lagi!
Tuesday, September 8, 2009

Bulan Kasih Sayang

Sering kali kita semua mendengar bulan Ramadhan merupakan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan yang berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.



Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri dan orang yang rugi.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

"Dari Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW bersabda:"kecewa dan merugi orang yang bila namaku disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasku, kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup di bulan ramadhan tetapi tidak terampun dosa-dosanya,kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup bersama orang tuanya tetapi dia tidak bisa sampai masuk surga ," (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Wallahuallam.
Baca Lagi!