Thursday, April 22, 2010

Dengan Keyakinan


Memang benar seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, pada akhir zaman orang yang hina (justeru jauhnya hubungan mereka dengan Allah) diangkat dan dimertbatkan ke darjat yang mulia. Manakala orang yang mulia (kerana akrabnya dengan Allah serta sangat menjaga hukum-hakamNya) telah dianggap hina. Hanya jauhari mengenal manikam – orang yang beriman juga yang menghargai mujahid, syuhada’ dan para solehin. Justeru, ketika nama dan harta mula melengkari hidupmu… mungkin ketika itu percikan-percikan api jahiliyah mula membakar jiwa mu. Cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Bukan mudah untuk meletakan dunia di tangan, iman di hati. Dunia itu umpama gadis yang cantik, di samping kita menjaga agar orang lain tidak menodainya, kita sendiri harus menjaga diri ketika menjaganya. Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan! Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah.

Sesungguhnya, apa yang kita deritai kerana jalan Allah ini… tidak secubitpun jika dibandingkan dengan kesusahan mereka. Berdoalah untuk mereka… agar diberi taqwa, sabar dan kebijaksanaan serta keberanian dalam menghadapi pejuang syaitan (fisabilitthagut). Mudah-mudahan satu ketika nanti, kami yang kerdil ini mampu menyusul dan menyusur jalan-jalan mulia yang kau telah rentas itu.

Untuk mu pengunjung blog, izinkan aku menguruskan beberapa cabaran ketika ini. Insya-Allah, akan menyusul nanti entri yang lebih serius dan menjurus. Namun, sebelum berpisah terimalah dariku sekadar dua tulisan ini sebagai “selingan”.

Bagi mereka yang begitu beria-ria untuk ke hadapan… milikilah dulu jiwa yang kental. Sesungguhnya persediaan akan memantapkan bakat. Kesabaran akan meningkatkan minat. Menulis itu memerlukan keyakinan bukan hanya keringat!

i) PEDANG SAYIDINA ALI

Sayidina Ali punya pedang yang begitu digeruni oleh musuh-musuhnya. Pedang yang bernama Zulfaqar itu sentiasa dibawa bersamanya dalam peperangan-peperangan dengan orang kaum musyrikin. Dan setiap kali membawa pedang itu, Sayidina Ali berjaya mengalahkan musuhnya. Berita tentang kehebatan pedang itu sampai kepada seorang lelaki. Dia juga seorang pejuang Islam. Tertarik dengan berita kehebatan pedang itu, lelaki itu pun datang menemui Sayidina Ali dan berkata,” tolong pinjamkan aku pedang mu yang hebat itu.” Tanpa banyak bicara Sayidina Ali pun meminjamkan pedang itu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu sangat gembira. Apabila sahaja terjadi peperangan, dia pun pergi dengan membawa pedang itu sekali. Dia ingin merasai sendiri kehebatan pedang Sayidina Ali itu.

Tidak lama kemudian perang pun tamat. Lelaki itu pulang dengan pedang yang dipinjamkan oleh Sayidina Ali itu. “Nah, ambillah kembali pedang ini,” katanya sebaik menemui Sayidina Ali. “Bagaimana, hebat tak pedang ini?” tanya Sayidina Ali. “Ah, biasa-biasa sahaja. Jika aku tahu begini, tak akan aku pinjam pedang ini daripada mu. Mengapa pedang ini tak sehebat yang diceritakan?” “Kau hanya meminjam pedang, tetapi kau tidak “meminjam” tangan yang memegang pedang itu!” kata Sayidina Ali.

Pengajaran:

Kekuatan utama manusia bukan kepada alat-alat yang digunakannya, tetapi pada dirinya sendiri. Teknologi yang canggih hanya akan membawa kebaikan jika manusia yang menggunakannya memiliki hati yang bersih dan fikiran yang bijak. Di tangan orang yang dungu, teknologi walau secanggih mana pun tidak akan dapat digunakan. Manakala di tangan orang yang jahat, teknologi hanya akan membawa seribu satu kejahatan dan kehancuran.

ii) MISKIN HARTA, MISKIN JIWA

Seorang pendakwah menasihati seorang pengemis yang kelihatan sihat dan kuat untuk kerja yang sangat mengaibkan itu. “Saudara ku, berhentilah daripada menjadi pengemis. Kau masih kuat dan sihat.” “Apa? Saudara rasa kerja mengemis tidak memerlukan tenaga? Dalam satu hari puas saya berjalan ke hulu, ke hilir untuk memohon simpati orang. Kalau saya tak kuat masakan saya dapat menahan panas, hujan dan pelbagai cabaran cuaca ini,” jawab pengemis. “Kerja mengemis ini hina. Hilang maruah diri.” “Siapa kata hina? Inilah kerja yang mulia. Saya menjadi sebab orang lain mendapat pahala. Kekadang saya juga mendapat pahala sabar bila orang caci saya. Pahala syukur bila orang memberi sedekah. Hinakah itu? Saya juga berdoa kepada orang memberi sedekah kepada saya. Hinakah?” Pendakwah terdiam. Dalam diam dia berdoa. Rupanya pengemis itu bukan hanya miskin harta tetapi miskin jiwanya. Alasan untuk malas sentiasa ada. Kreatif betul tipuan syaitan.

Pengajaran:

Malas adalah satu dosa. Ramai yang tidak nampak hakikat itu. Pelbagai alasan diberikan untuk malas termasuk atas hujah dan dalil agama. Kepalsuan yang bersalut kebenaran bukan sahaja mampu menipu orang lain, tetapi paling malang… menipu diri sendiri!
Baca Lagi!
Friday, April 2, 2010

TAFAKUR DI PUSARA CINTA…


Ah, cinta itu boleh tumbuh, subur dan berbuah. Cinta juga boleh lumpuh, terkubur dan musnah. Ramai pasangan yang berkahwin, tetapi tidak sampai setahun, cintanya patah. Ada juga yang berkahwin, berpura-pura bahagia. Akhirnya kecundang, berpisah di usia senja. Namun lebih ramai yang terus berkahwin, namun rumah tangganya bagai pusara… tidak ada cinta, jauh sekali bahagia.

Jika terdetik sahaja di dalam hati, “Aku tidak berpisah dengannya (pasangan kita) hanya kerana anak-anak…” itu petanda bahaya. Selalu kita diingatkan “hadiah” termahal untuk anak-anak ialah mencintai ayah atau ibunya (isteri atau suami kita). Jadi, jangan sekali-kali kematian cinta. Bina dan binalah lagi walaupun bagaimana perit dan deritanya.

Satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Jangan terperangkap dalam ilusi kesempurnaan. Jadi, binalah cinta berkali-kali. Walaupun sukar sungguh mencari ”kerana-kerana”nya lagi, tapi jangan putus asa. Cari dan binalah kerana yang baru. Jangan jemu. Berilah dan teruslah memberi. Insya-Allah, akan terpinggir juga akhirnya rasa benci, jemu dan letih oleh karenah, kekurangan atau “keburukan” pasangan kita.

Ingat selalu, terlalu banyak “sebab” untuk menyintai, berbanding sebab untuk membenci!

Jangan cepat berubah hati. Bila “kerana-kerana” yang lain sudah hilang dan terasa tiada sebab untuknya mencintai lagi, ketahuilah itulah permulaan CINTA sejati. Itulah cinta tanpa syarat yang terlalu mahal harganya. Kata hukama, “di kala manusia hilang segala-galanya, maka ketika itulah dia menemui siapa dirinya yang sebenar.”

Cintailah pasangan kita kerana Allah. Ikhlaslah dalam bercinta. Inilah yang akan mengekalkan rasa cinta selepas perkahwinan. Jangan terikat dengan cinta yang murah – yakni cinta berbentuk “maddiah” (fizikal dan material). Jangan diteladani syaitan yang terlalu materailistik, yang merasakan dirinya yang tercipta daripada api lebih baik dari Adam yang tercipta dari tanah. Syaitan terlalu material. Sebaliknya, mulianya Adam kerana ilmu dan ketaatannya kepada Allah. Cinta kita jangan berpusatkan materail dan fizikal!


Jagalah perasaan sendiri agar ceria selalu. Insya-Allah keceriaan itu akan memudahkan kita menjaga perasaan pasangan kita. Orang yang gembira selalunya dapat menggembirakan orang lain. Hindarilah rasa benci, marah, kecewa, sayu dan putus asa. Tetapi jika kekadang rasa-rasa negatif itu timbul jua, bermujahadahlah untuk memeranginya. Jangan sekali-kali dibiarkan menetap lama-lama di hati kita. Ia umpama serangga perosak yang boleh memusnahkan kebun cinta kita.

Inilah rahsia kesuburan “kebun cinta’. Bila kebun cinta kedua suami-isteri telah subur, insya-Allah seluruh isi rumah (anak-anak, pembantu rumah dan siapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan mereka) akan turut merasa teduh oleh rimbun daun-daunnya dan akan dapat pula merasakan keenakan buah-buahnya. Orang yang penuh dengan rasa cinta umpama bunga yang harum. Ia sentiasa menyebarkan “keharumannya”.

Apakah yang harus dilakukan agar perasaan selalu ceria atau gembira? Mungkin untuk merasa gembira lebih mudah jika memang ada sesuatu, seseorang atau keadaan yang boleh menggembirakan. Kalau ada suatu insiden atau kejadian yang melucukan… kita tertawa, gembira. Jika ada orang memberikan hadiah, kita gembira.

Namun bagaimana jika semua itu tidak ada? Maksudnya, tidak ada seseorang, keadaan, perkara atau benda pun yang boleh menggembirakan kita? Pendek kata, sumber kegembiraan langsung tidak ada. Bagaimana? Jawabnya, jadilah sumber kegembiraan itu sendiri! Maksudnya, jadikanlah diri kita sebab untuk orang lain gembira.

Bagaimanakah caranya? Carilah orang lain dan gembirakan dia. Siapakah dia itu?

Siapa lagi kalau bukan pasangan kita. Sentiasalah berfikir, berusaha dan melakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan pasangan kita. Insya-Allah, kegembiraan yang kita berikan kepadanya akan kembali kepada kita semula. Pepatah Cina ada mengungkapkan, tangan yang menghulur bunga mawar pasti akan berbau harum. Bijak pandai juga berkata“what goes around, comes around.”

Ya, hulurkanlah “bunga mawar” kepada pasangan kita, setiap hari, setiap masa. Insya-Allah, sebelum pasangan kita mencium keharumannya, tangan kita yang menghulurkannya akan berbau harum terlebih dahulu. Bunga mawar itu simbolik kepada kebaikan. Maksud menghulurkan bunga mawar itu ialah buatlah kebaikan kepada pasangan kita – tidak kira sama ada kecil atau besar. Kebaikan itu umpama baja kepada kebun cinta kita.

Teringat apa yang dikatakan oleh A’id Al Qarni dalam bukunya “La Tahzan”, “orang yang pertama merasakan nikmat kebaikan ialah orang yang melakukannya!” Ertinya, sesiapa yang berusaha menjadi sumber kegembiraan (dengan terlebih dahulu berbuat baik), maka dialah yang akan menikmati kebaikan itu sebelum orang yang ditujukan akan kebaikan itu merasa gembira. Bukankah sering dipesankan, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah kita akan mendapat lebih banyak cahaya? Suami yang menggembirakan isterinya akan gembira dan begitulah sebaliknya.

Kesimpulannya, ingatlah tiga perkara yang akan menyuburkan kebun cinta kita – mengucapkan salam, memberi senyuman dan sering berjabat tangan. Salam itu umpama “baja”, senyuman itu umpama “air” dan berjabat tangan itu umpama cahaya di kebun cinta kita.

Insya-Allah, jika kebun cinta kita selalu diairi, dibajai dan diberikan cahaya, maka perasaan kita akan selalu gembira, fikiran kita akan positif dan tindakan-tindakan kita akan sentiasa membuahkan kebaikan. Dan itulah antara resipi “baiti jannati”.

Sekiranya, cintamu hampir menjadi pusara… tafakurlah sejenak di atasnya. Cari kembali dirimu dan dirinya. Bermulalah langkah “menghidupkan” semula cinta itu daripada dirimu sendiri. Dalam pencarian itu hendaklah selalu diingat… carilah di tempat dimana kita kehilangannya. Justeru, kita akan hanya menemuinya semula di tempat yang kita kehilangannya!
Baca Lagi!